Current Health Articles

Ketahui risiko pasangan

Written by admin

Ketahui risiko pasangan

Oleh DR L.Y. KAM
UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini. 3

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif. 2

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

PENULIS ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB

Read full story

B17 aprikot bantu terapi kanser

Written by admin

B17 aprikot bantu terapi kanser

JIKA disebut mengenai penyakit kanser, ia boleh dihidap oleh sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan status.

Merujuk kepada data, kanser merupakan antara penyebab utama kematian di seluruh dunia d imana 40,000 kes kanser dikesan setiap tahun di Malaysia dengan 1 daripada 4 rakyat menghadapinya.

Pakar pemakanan dan perubatan dari seluruh dunia mengakui, faktor pemakanan merupakan antara penyumbang utama kepada kanser.

Ini kerana di zaman yang serba moden dan canggih ini, setiap hari kita tidak terlepas dari pengambilan makanan yang merupakan agen kepada kanser.

Menurut mereka, hampir 90 peratus makanan yang diambil bersifat asid dan mengandungi kandungan aditif yang tinggi seperti pewarna dan perasa tiruan, pemanis buatan, pengawet dan pelbagai lagi campuran bahan kimia yang merbahaya untuk kesihatan dan boleh menyebabkan kanser.

Akibatnya kita terdedah kepada keadaan tubuh berasid seterusnya system antibodi dan imunisasi badan menjadi lemah dimana keadaan ini boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kanser, darah tinggi, diabetis dan lain-lain yang boleh membawa maut dan membunuh manusia secara perlahan.

Pada 1952, Dr Ernes T Krebs, seorang Bio Kimia dan beberapa saintis perubatan mendakwa, penyakit kanser adalah penyakit kekurangan nutrisi tubuh badan.

Kajian terhadap haiwan liar yang hidup di hutan dikelilingi oleh persekitaran tumbuh-tumbuhan kaya dengan kompaun vitamin B17, tidak akan dijumpai mati akibat kanser. Sebaliknya haiwan yang dipelihara dalam zoo berkemungkinan besar mati akibat kanser walaupun diberi makanan yang kaya nutrien namun tidak mengandungi B17.

Puak Hunza di pergunungan Pakistan didapati hidup sehingga usia 120 tahun. Makanan utama mereka adalah biji-bijian aprikot yang kaya dengan vitamin B17. Pihak saintis perubatan turut kagum apabila mereka memiliki kesihatan yang tinggi dan tidak pernah dengar mengenai penyakit kanser.

Pakar perubatan berpengalaman dan bekas ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Sayed Zainal Husin, mengakui biji aprikot mengandungi vitamin B17 paling tinggi yang dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kanser. Menurutnya, dalam terapi metabolik, apabila vitamin B17 bertemu dengan sel kanser, enzim betaglucosidase yang hanya terdapat dalam sel kanser akan menguraikan elemen vitamin B17 seterusnya membunuh sel kanser.

Vitamin B17 yang berlebihan juga akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat dalam tubuh badan untuk kesihatan sel-sel dan membantu mengurangkan keasidan serta toksin dalam darah seterusnya membantu meningkatkan keseimbangan PH dalam tubuh serta memperlahankan penyebaran kanser, mengurangkan kandungan kolestrol dan membantu merawat penyakit jantung dan diabetis.

Prof Madya Dr syed Zainal, merupakan penaung produk Apricon Farmas Health.

Katanya, vitamin B17 aprikot bukan sahaja diperkatakan di Malaysia malah keberkesanannya membantu melawan kanser turut diperakui oleh saintis-sainstis di seluruh dunia berdasarkan kajian saintifik dan ujian klinikal yang dilaksanakan.

Pandangan pakar & saintis mengenai Vitamin b17

Dr. Micheal Tait, Fountain of Life Clinic, Gold Coast, Australia

“Kanser adalah penyakit metabolik, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan Vitamin B17 daripada makanan harian kita adalah penyebab utama seseorang mendapat kanser”

Dr. Dean Burk, Pakar Kanser Jerman.

“Di bawah Mikroskop, kami masukkan vitamin B17 ke atas sel kanser dan kami dapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali”

Namun katanya, biji aprikot mentah yang diambil dan dimakan begitu sahaja amat berbahaya kerana ia terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran dari luar negara ke Malaysia. Ia boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan negatif terhadap tubuh bahan.

Untuk mengatasi masalah tersebut, syarikat pengeluar barangan kesihatan, TK Farmas Solution & Industries komited mengeluarkan satu produk Aprikot Vitamin B17 di mana biji aprikot tersebut diproses terlebih dahulu dengan penyelidikan klinikal dan teknologi farmaseutikal yang tinggi supaya bakteria, kulat dan sebarang radikal bebas dapat disingkirkan dan selamat dimakan.

Syarikat tersebut tampil dengan produknya yang dikenali sebagai Apricon Farmas Health yang merupakan produk pertama di Malaysia yang berunsurkan vitamin B17 yang amat diperlukan dalam tubuh badan manusia untuk meningkatkan sistem ketahanan dan imunisasi tubuh badan.

Produk ini mengandungi 100 peratus kapsul biji aprikot dimana biji aprikot diproses dengan kawalan piawaian farmaseutikal yang tinggi dimana pemprosesannya dijamin bersih dan selamat serta bebas dari sebarang campuran kimia bagi mengekalkan kandungan vitamin B17 yang tinggi.

Sementara itu, Presiden Kelab Prostar Malaysia,Dr Ismail Lasa berkata, Apricon Farmas Health kaya dengan vitamin B17 dan dapat membantu meningkatkan kecergasan seseorang sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan yang lain.

Syarikat TK Farmas Solution & Industries merupakan sebuah syarikat yang dinamik dan terdiri dari kakitangan yang sangat berpengalaman dan mahir dalam bidang perubatan, menghasilkan produk kesihatan terbaik dan berkualiti tinggi dengan harga yang kompetitif dan berpatutan.

Bagi mereka yang telah menggunakan produk Apricon ia ternyata memberi kesan memuaskan.

Khairun Nisa, 36, yang merupakan pesakit kanser payudara telah mengambil aprikot sebagai alternatif bagi membantu merawat penyakit yang dihidapinya. Ternyata ia memberikan perubahan positif.

Katanya, selepas beberapa bulan mengamalkan pemakanan aprikot yang kaya dengan vitamin B17, benjolan pada payudaranya makin menyusut dan menghilang.

Apricon Farmas Health mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berada di pasaran.

Read full story

Senaman udara dan terbalik

Written by admin

Senaman udara dan terbalik

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Amira berasa lebih rileks, segar dan tidak mudah letih selepas mengamalkan senaman ini.

SEBELUM ini, Amira Hani Umar sering mengalami masalah tidur tak lena hampir setiap malam. Dia cepat berasa letih dan kadang-kadang terjaga daripada tidur. Apa yang merisaukan, dia sering mengalami kekejangan kaki.

“Seperti kebanyakan wanita yang sibuk dengan kerjaya, saya sering keletihan. Bukan masalah tidur sahaja bahkan saya merasakan bentuk badan besar dan rangka seperti lelaki. Suatu hari, saya mengalami kekejangan kaki yang merumitkan keadaan. Esoknya saya bangun dengan letih walaupun tidur cukup lapan jam,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemubual di sebuah studio tarian, Dreams di Subang Jaya, Selangor.

Namun, penderitaan yang disangka berpanjangan itu kini mulai berkurangan. Semuanya gara-gara amalan teknik senaman yang mungkin tidak pernah terlintas di ruang pemikiran iaitu menggunakan fabrik lycra untuk bergantung dan bergayut yang dikenali sebagai fly fitness.

“Banyak perubahan. Saya berasa lebih rileks, segar dan tidak mudah letih. Kelas fly fitness juga menolong saya mengawal emosi. Lenturan tubuh memberikan lebih fleksibiliti kepada pergerakan anggota badan dan ini membantu saya tidur nyenyak pada waktu malam. Semasa berada dalam bilik bersuhu panas, saya juga berpeluang mengeluarkan peluh yang tidak baik untuk kesihatan,” katanya konsultan perhubungan awam dan pengajar fly fitness itu.

Mungkin kedengaran pelik dan tidak masuk akal tetapi jangan terkejut jika senaman ini sudah pun mewujudkan fenomena baru di kalangan masyarakat tempatan yang mahukan senaman ceria tanpa risiko kecederaan yang tinggi.

Populariti senaman ini hampir menyamai taraf yoga yang sudah lama dikenali ramai. Menurut Amira, amalan senaman seperti terbang itu telah mengurangkan masalah kekejangan yang dihadapinya.

Bebanan pelbagai penyakit yang dialaminya termasuk artritis, perut buncit dan kelesuan ekoran kepenatan bekerja juga telah menampakkan perbezaan ketara selepas hampir setahun tahun dia mempraktikkan senaman ini.

Fly fitness direka untuk membentuk keseimbangan, fleksibiliti, penguatan otot dan pembentukan abdomen dengan lembut dan tenang.

Gabungan

Berbeza dengan senaman lain yang mungkin hanya berkaitan dengan kekuatan otot, fly fitness dikatakan memberi ketenangan fizikal dan rohani.

Fly fitness di Malaysia ilham pengasas Studio Tarian Dreams, Reiko Soo, membabitkan senaman menggunakan fabrik lycra yang digantung seperti buai. Kain lycra digunakan untuk bersenam atau mengantungkan diri termasuk berada dalam keadaan terbalik.

“Dengan berada dalam keadaan terbalik, kepala ke bawah, kaki ke atas, ia dapat mengimbangi tubuh dan baik untuk tulang belakang,” ujar Reiko.

Dia mendapati berada dalam keadaan terbalik dalam buaian, posisi ini turut melegakan tubuh.

Senaman ini juga akan menggunakan kain yang digantung sebagai sebahagian daripada senaman.

Ia bukanlah peralatan menarik untuk terbang atau menggantungkan diri tetapi cara terbaik untuk melegakan tulang belakang.

Ia berbeza dengan senaman di lantai kerana masalah pergelangan tangan dan kaki yang boleh menyebabkan kekejangan atau terseliuh.

“Jika tulang seseorang mengalami tekanan akibat senaman di lantai, ia memberi kesan pada otot dan tulang belakang. Sebaliknya, saya mendapati senaman di udara lebih berjaya. “Menggunakan buaian tidak memberi tekanan kepada pergelangan tangan saya malah ia lebih menyeronokkan. Dalam buaian, anda boleh melupakan segala-galanya kecuali kesedaran terhadap minda dan tubuh.

Menurut Reiko, bergantung dalam keadaan terbalik memberi kesegaran sistem tubuh, melancarkan peredaran darah dan menyegarkan semula sistem tubuh.

Fly Fitness menggunakan beberapa disiplin senaman manakala kain yang digantung membolehkan peserta bergerak secara bebas dengan pelbagai kedudukan.

Sebagai permulaan, fly fitness hanya memberi tumpuan senaman asas seperti di atas lantai dan kemudiannya bergantung di dalam kain yang mungkin mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mahir sepenuhnya.

“Kini kami mempunyai kelas khusus untuk semua golongan. Orang ramai yang berminat boleh layari www.dreamsdancestudio.com atau hubungi talian 017-3311688.

Mereka perlu tahu, mengikuti kelas ini tiada persaingan kemahiran sebaliknya peserta dapat berinteraksi antara satu sama lain,” ujar Reiko yang menggalakkan orang ramai mengikuti latihan fly fitness satu jam sekali dalam seminggu.

Read full story

Bebaskan si kecil daripada seksa ekzema

Written by admin

Bebaskan si kecil daripada seksa ekzema

Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar JEFFRI IRAN

Dari kiri Pensyarah Kanan Perunding Dermatologi dari United Kingdom, Prof. Dr Anthony Chu, Dr. Leong Kin Fon dan Pengurus Negara Leo Pharma, Tan Keng Aung pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Ekzema Atopik di Kuala Lumpur Baru-baru ini.

MELIHAT kegelisahan si kecil tidak boleh duduk diam kerana gatal-gatal dan ruam di badan pasti merunsingkan hati si ibu.

Tambah memilukan apabila kesan kegatalan tersebut menyebabkan kulit si kecil menggelupas dan kemerah-merahan di seluruh badan.

Situasi ini kerap dialami oleh penghidap ekzema atopik atau dermatitis atopic sejenis penyakit radang kulit yang mencetuskan ruam gatal hingga menyebabkan rasa sakit dan resah.

Biarpun penyakit ini tidak mendatangkan bahaya dan mengancam nyawa, namun penyakit ini semakin kerap berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan alahan serta keadaan persekitaran dan udara yang tidak bersih.

Bahkan mengikut statistik Persatuan Dermatologi, ekzema atopik merupakan penyakit yang kerap menyerang kanak-kanak di seluruh dunia dengan 10 hingga 20 peratus terdiri daripada kanak-kanak berbanding satu hingga tiga peratus berlaku kepada golongan dewasa.

Perkara ini diakui oleh Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon ketika ditemui sempena Kempen Kesedaran Ekzema Atopik di kalangan kanak-kanak anjuran Leo Pharma baru-baru .

Katanya, di Malaysia, penambahan kes ekzema di lihat amat membimbangkan dari masa ke semasa iaitu sebanyak 12.6 peratus.

“Keadaan ini amat membimbangkan jika dibandingkan di negara-negara lain termasuk di Indonesia hanya 3.7 peratus,” katanya.

Menurut Dr. Kin Fon, keadaan itu lebih membimbangkan apabila kes melibatkan kanak-kanak yang berusia enam hingga tujuh tahun meningkat daripada 9.5 peratus kepada 12.6 peratus.

Penghidap ekzema atopik sebenarnya mempunyai paras asid gama linolenik (GLA) dalam tubuh yang lebih rendah .

Keadaan itu menyebabkan kulit menjadi gatal dan ruam di bahagian-bahagian tertentu seperti sendi, leher dan sebagainya, menyebabkan kulit menjadi kering serta kehitaman.

Kebiasaannya, kulit pesakit ekzema atopik bukan sahaja menjadi kemerah-merahan, tetapi juga bersisik, keras dan tebal .

Tegas beliau, penjagaan kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya sangat sangat sensitif dan memerlukan perhatian yang serius.

“Keadaan ini menyebabkan mereka memerlukan penjagaan yang eksklusif selain tidak boleh terdedah dengan keadaan yang berhabuk,” ujarnya lagi.

Menurut Dr. Fon, penjagaan kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya satu proses berterusan sehingga mereka dewasa.

Selain kesan kesakitan, penyakit ini juga boleh memberi tekanan emosi dan kesan kewangan bukan sahaja ke atas pesakit tetapi juga ahli keluarga, khususnya penjaga.

Malah, ia juga membataskan aktiviti harian kerana pendedahan kepada cuaca panas dan terik serta perpeluhan boleh mendatangkan kerengsaan dan kegatalan kulit.

Tambahnya, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak ekzema di galakkan untuk mengguna pelempap.

“Ia bukan dapat melembutkan kulit tetapi juga membantu mengunci lembapan,” ujarnya lagi.

Selain itu, ia juga dikatakan dapat membantu mengurangkan rekahan, kekeringan pada kulit dan meredakan kegatalan.

Dalam pada itu, pesakit ekzema tidak disarankan menggunakan sabun atau mandian berbuih pada kulit mereka kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan kulit.

Sebaiknya mereka disarankan menggunakan pembersih dan pelembap yang bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung tetapi juga pelembap terutama kulit yang kering.

Read full story

Sukar mahu bebas obes

Written by admin

Sukar mahu bebas obes

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah@utusan.com.my
Foto DJOHAN SHAHRIN SHAH

Selain senaman TRX dua kali seminggu, Jean mengawal cara pemakanannya dengan tidak memakan daging tetapi melebihkan buaha-buahan dan sayur-sayuran.

HAMPIR lima tahun, Jean Loh, 34, mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan, namun usahanya masih menemui jalan buntu.

Dia berdiet dan mengambil pil untuk mengurangkan berat badannya yang mencecah 86 kilogram (kg), tetapi masih tidak berubah. Dia sering rasa letih dan tidak bermaya ketika melakukan kerja harian.

Jean mula mengalami masalah berat badan selepas bergelar Pegawai Perhubungan Awam(PR) dengan syarikat Estee Lauder kira-kira enam tahun lepas. Keadaan diburukkan dengan amalan pemakanan yang tidak sihat sepanjang tempoh berkenaan.

“Ketika melakukan pemeriksaan kesihatan, doktor nasihatkan saya supaya turunkan berat badan bagi mengelak menghidapi penyakit lain yang teruk.

“Sejak itu saya terfikir untuk menurunkan berat badan. Kebetulan pekerjaan saya banyak melibatkan orang lain. Penampilan adalah aspek penting untuk memastikan saya berasa yakin berkomunikasi dengan orang lain,” katanya.

Sehinggalah pada awal tahun lepas dia mengambil keputusan untuk bersenam di gim dalam usaha menguruskan berat badannya.

Seorang rakan mengesyorkan senaman latihan penuilan (daya tuil) berat badan yang dikenali TRX. Jean berjaya menurunkan berat badan sebanyak 24 kilogram dalam tempoh setahun.

“Melalui TRX, saya dapat memperbaiki stamina badan dan otot-otot saya lebih fleksibel. Pertama kali melakukan TRX, seluruh badan saya terasa sakit. Bayangkan saya sudah lama tidak bersenam dan tiba-tiba melakukan TRX, memang memberi kesan.

”Namun lama-kelamaan badan saya sudah biasa apatah lagi saya memperuntukan dua kali seminggu untuk ke Chi Fitness, Pusat Membeli-belah Bangsar (BSC) untuk mengikuti latihan TRX.

”Hampir setahun mengikuti kelas ini, saya lebih bertenaga dan tidak cepat penat walaupun kerja lebih masa. Kawan-kawan juga terkejut dengan perubahan berat badan saya sehingga ada yang tak kenal saya lagi.

”Masalah selalu penat dan tak bertenaga juga sudah hilang. Saiz baju yang saya pakai dulu XL juga dah bertukar jadi M,” katanya.

Pembahagian masa

Ditanya tentang pembahagian masa kerja dan latihan, Jean berpendapat, ia sebenarnya bergantung kepada individu.

Pada awalnya, dia sendiri seperti tidak menyangka berjaya mengikut jadual tetapi disebabkan azam bebas obesiti, dia nekad mahu melakukannya.

“Saya akui bertugas sebagai PR memerlukan pengorbanan masa di tempat kerja. Apa yang saya lakukan ialah, siapkan semua kerja lebih awal setiap hari Rabu dan Jumaat. Sekiranya kita berusaha melakukannya, tiada yang mustahil. Akhirnya, saya sudah biasa dengan jadual itu. Malah saya tidak pernah berasa letih tetapi lebih segar pada keesokan harinya,” katanya.

Makanan sihat

Jean berkata, stigma kebanyakan masyarakat yang menganggap senaman sudah cukup untuk kurus perlu dibuang jauh.

Sebenarnya memilih makanan sihat juga penting sebagai pelengkap proses diet.

Katanya, jika dahulu dia cintakan makanan daging tetapi kini kegemaran tersebut dibuang jauh-jauh. Seorang rakan pernah memberitahu, tiada jalan mudah untuk memiliki berat badan yang ideal. ”Saya kena menikmati makanan sihat seperti makanan laut masak stim dan mengurangkan pengambilan karbohidrat terutamanya pada waktu malam.

”Dalam kamus diet saya juga tiada istilah makanan ringan dan daging termasuk ayam dan lembu,” ujarnya,

Tambah Jean, adalah penting bagi orang ramai menyedari bahawa untuk menguruskan badan dan hidup secara sihat bukanlah sesuatu yang mudah. Sebaliknya ia memakan masa yang panjang dan perancangan yang baik.

Dalam pada itu, Jean terlibat dalam menguruskan Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara anjuran Estee Lauder sepanjang Oktober ini yang telah bermula 27 September lalu di Chi Fitness, BSC.

Jean menggalakkan orang ramai untuk menyokong kempen ini dengan membeli Pasport Pink Estee Lauder bernilai RM50 mengandungi nilai diskaun, tawaran dan hadiah istimewa.

Estee Lauder juga akan mengadakan Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara dengan menyaksikan bangunan Pavilion, Menara Kuala Lumpur dan Sultan Abdul Samad berwarna pink pada 14 Oktober depan.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari www.elcbca.com.my

Read full story